Burger King, restoran makanan segera pertama tawar Menu Rahmah

Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus disokong pihak pengusaha makanan.

Terbaru, rangkaian makanan segera Burger King turut menawarkan Menu Rahmah dengan menyediakan hidangan makanan pada kadar harga rendah RM5 sepinggan.

Restoran Burger King yang merupakan antara rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) yang utama di Malaysia telah menjadi restoran makanan segera pertama yang melancarkan “Menu RAHMAH” dalam menu sajian kepada pelanggannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini menyempurnakan perasmian Menu Rahmah di Restoran Burger King Persiaran Indah, Johor Bahru.

“Menu Rahmah merupakan makanan tengah hari atau petang yang ditawarkan pada harga yang rendah iaitu pada harga RM5 sepinggan.

“Dengan kadar harga menu yang berpatutan ini, ia disasarkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini,” kata kementerian dalam kenyataan pada Jumaat.

Pengunjung menikmati hidangan makanan Menu Rahmah yang ditawarkan di Restoran Burger King Persiaran Indah, Johor Bahru. Foto KPDN

Kata kenyataan itu, susulan kerjasama sinergi kementerian bersama industri restoran dan peruncitan, inisiatif “Menu Rahmah” ini telah berjaya menarik kerjasama bersama industri rantaian restoran makanan segera.

“Menu Rahmah ditawarkan dengan pilihan dua jenis protein iaitu BK Chick’N Crisp® (Ayam) dan Cheesy Beef (Daging) dan disertakan dengan sebotol air mineral Dasani dengan harga RM5 bagi satu hidangan di 140 buah cawangannya di Semenanjung.

“Daging lembu dan ayam yang digunakan adalah 100 peratus disahkan Halal dan syarikat hanya menggunakan sayur-sayuran segar yang diperolehi dari seluruh Malaysia,” katanya.

Kata kenyataan itu anak-anak yatim dari Rumah Fitrah Qaseh, Johor Bahru turut menjadi tetamu istimewa bagi merasai pengalaman menjadi orang pertama merasai “Menu Rahmah” daripada Restoran Burger King.

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri rantaian restoran makanan segera supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini,” katanya.

BACA JUGA: “Menu Rahmah untuk semua rakyat, menu kasih sayang” – Salahuddin