
Cadangan kemasukan pelarian Palestin tidak dibincangkan
Jemaah Menteri tidak membincangkan cadangan membenarkan kemasukan pelarian Palestin ke Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau turut mengesahkan sokongan kepada Hamas tidak dibincangkan sejak konflik di antara Israel dan Palestin memuncak sejak 7 Oktober.
“Banyak pandangan yang dilontarkan di pelbagai platform perbincangan rakyat terkait dengan konflik Israel-Palestin. Saya ingin menyatakan bahawa Kabinet kerajaan Persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan mengenai kemasukan pelarian perang Palestin ke negara ini atau sebarang sokongan ke atas Hamas.
“Kabinet hanya bersetuju menyalurkan bantuan kemanusian melalui pungutan derma untuk membantu rakyat Palestin sama ada yang beragama Islam atau Kristian yang menjadi mangsa kepada konflik perang di wilayah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘mirumo-rumo’ (santai) anjuran UPKO Bahagian Keningau semalam.
Beliau yang juga presiden Upko berkata partinya mengambil pendirian rakyat Malaysia perlu diutamakan.
“Sekiranya perkara mengenai pelarian perang Palestin dibawa ke mesyuarat kabinet Persekutuan, sudah tentu saya akan menyatakan pandangan dan pendirian saya.
“Pertama, dalam konteks Sabah, kerajaan mesti mengambil ikhtibar daripada masalah pendatang asing di Sabah yang semakin kompleks kerana bermula daripada penerimaan mereka sebagai pelarian perang saudara di Filipina.
“Kedua, berdasarkan kepada laporan data kemiskinan, lapan daerah di Sabah disenaraikan yang paling termiskin di Malaysia. Maka bantuan kemanusian dan bantuan-bantuan kerajaan yang lain harus difokuskan kepada usaha membawa daerah-daerah ini keluar daripada kemiskinan.
“Inilah pandangan dan pendirian yang akan saya sampaikan kepada kabinet sekiranya perkara ini dibincangkan.
“Namun, setakat ini Kabinet persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan membawa masuk pelarian perang Palestin ke negara ini,” katanya.
Isu ini menimbulkan polemik baru-baru ini. Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi telah menyatakan bantahan berkenaan perkara ini juga sebagai pendirian peribadinya.
Pandangan Nanta Linggi telah dikritik oleh ketua pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Salleh.