Cadangan projek Kedah Aerotropolis: Sanusi dakwa Anwar tak nak jumpa

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perdana Menteri tidak mahu bertemu dengannya untuk membincangkan projek pembangunan industri penerbangan, Kedah Aerotropolis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu memberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan mengadakan pertemuan antara mereka.

Dalam masa sama, pemimpin Pas berkenaan mengakui tidak membangkitkan isu berkaitan projek mega itu semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’ 23).

“Saya nak jumpa (Anwar) tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul… Di LIMA’23 baru-baru ini, saya tak ada bercakap mengenai isu itu.

“Beliau ada lalu tengok reruai kita mengenai projek Aerotropolis tetapi saya pun tak ada kesempatan panjang nak bercakap mengenai tajuk itu.

“Saya perlu masa lebih panjang dan sesuai. Jumpa di situ tak sesuai,” lapor BH.

Sanusi menteri besar pembangkang paling kontroversi.

Pada Februari lalu, Sanusi berkata, projek Kedah Aerotropolis tidak memerlukan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebaliknya akan dibiayai sepenuhnya melalui inisiatif sumber kewangan swasta.

Bagaimanapun, pada 8 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek itu.

Sanusi dalam reaksinya berkata, permohonan rasmi telah dibuat kepada dua Perdana Menteri bagi dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet, selain turut diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bagi penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS).

Sementara itu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kedah yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Kewangan menegaskan kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

Jelas Anwar, kos jauh lebih rendah jika kerja naik taraf itu dilaksanakan berbeza dengan cadangan membina KXP yang dianggarkan mencecah RM7 bilion.

BACA JUGA ‘Sanusi tidak mampu pimpin Kedah, tiba masa rakyat kalih bagi sama’