Calon MB Kedah, Kelantan, Terengganu dari Umno sekiranya menang PRN

Kerusi Menteri Besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diterajui oleh pemimpin Umno apabila gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri (PRN). Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula, status quo kekal dengan penyandang, kata ketua pengarah komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

“Itu tidak boleh dinafikan, calon menteri besar di Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri di Pulau Pinang kita akan kekalkan pada penyandang.

“BN tidak banyak kerusi, jadi mereka kena terima hakikat.

“Tetapi calon menteri besar di tiga negeri lain itu mungkin kita akan berunding, kemungkinan ia lebih condong untuk diberi kepada BN,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun kepimpinan PH masih mahu meneliti calon-calon tersebut yang bakal mengetuai negeri-negeri tersebut.

Ketika ini Kedah, Kelantan dan Terengganu diketuai Menteri Besar dari Pas menganggotai Perikatan Nasional.

Kesemua enam negeri ini bakal menyaksikan PRN selepas bulan Jun. PRN ini adalah juga referendum penting untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap kerjasama PH dan BN.

Bercakap mengenai isu tersebut Khalid yakin penyokong PH dapat menerima calon BN.

“Memang saya rasa kebanyakannya pada peringkat awal, ada rasa begitu, tidak begitu seronok, tetapi sekarang saya lihat ramai sudah memahami kenapa kita bentuk kerajaan bersama dengan BN, kerana kita tiada pilihan lain.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) pun buat perkara yang selari dengan kehendak pengundi.

“Lawan rasuah dan monopoli kartel, setakat ini pengundi PH boleh terima. Tetapi mahu tengok pengundi Umno boleh sokong PH atau tidak, kita tunggulah,” katanya.

BACA JUGA: Konvensyen Kerajaan Perpaduan julung kali menjelang PRN