Cara terbaik pulih Umno bermula dari akar umbi

Cara terbaik pulih Umno bermula dari akar umbi

Penganalisis politik berpendapat ahli Umno merupakan faktor penentu dalam usaha merawat Umno pasca pilihan raya di enam negeri baru-baru ini.

“Dalam situasi sekarang, cara terbaik untuk pulihkan Umno adalah daripada akar umbi itu sendiri,” kata Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis.

Katanya, jika akar umbi sendiri sudah tidak yakin dengan Umno, maka agar sukar untuk parti tersebut ‘menembusi’ antaranya pengundi-pengundi atas pagar.

“Kalau akar umbinya sendiri sudah tidak yakin dengan Umno, daripada sudut falsafah, perjuangan, penghayatan itu sudah kaput (kata orang Umno sudah kaput sangat), maka sukar untuk Umno pergi menerobos kepada pengundi atas pagar, apatah lagi bercakap dengan anak muda.

Mujibu Abd Muis

“Jadi, dua aspek ni yang harus dilihat, kalau letak jawatan, untuk peringkat awal ianya ok lah, tetapi naik juga mereka yang masih lagi dalam kerangka sama untuk memimpin dan mengemudi parti.

“Ditambahkan pula Umno berhadapan dengan situasi dan zaman yang sangat berbeza, maka Umno mungkin tidak akan berubah dan tidak akan membawa banyak perubahan yang substantif kepada Umno bagi memastikan parti itu kekal relevan dan paling penting mempertahankan parti sebagai institusi politik terpenting orang Melayu, berbanding menjadi parti politik itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas membentangkan hasil kajian bertajuk ‘Merawat Melayu: Umno Perlu Bagaimana’ pada Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 bertajuk ‘PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi’ yang disiarkan di Facebook Ilham Centre, hari ini.

Untuk rekod, BN yang diwakili Umno dalam keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Pencapaian terbaik BN di Negeri Sembilan apabila menang 14 kerusi manakala menang dua kerusi masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang serta satu kerusi di Kelantan.

Menurut Mujibu lagi, ketika turun di lapangan, reaksi yang diberikan orang Umno adalah mereka sudah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan peletakan jawatan sepatutnya dilakukan, sekali gus memikul kekalahan dengan bermaruah.

“Tetapi adakah itu (letak jawatan Presiden) menyelesaikan masalah Umno untuk jangka panjang? Jawapannya tidak.

“Peletakan jawatan (Presiden) mungkin hanya akan menyelesaikan masalah parti itu bagi jangka masa pendek, namun untuk jangka masa panjang, tidak.

“Ini kerana masalah (Umno) ini sistemik (sesuatu yang tertanam di dalam sistem) yang bermula daripada atas hingga bawah.

“Seperti mana yang dikatakan oleh akar umbi, perubahan Umno secara besar-besaran itu bukan sekadar daripada kepimpinan, tetapi daripada sudut hala tuju dan falsafah parti itu yang perlu seiring dengan keadaan semasa,” ulas beliau lagi.

BACA JUGA Pengundi muda ada sikap tentukan sendiri pilihan politik mereka

 

COMMENTS

Wordpress (0)