
Chegubard, Wan Saiful, Raggie Jessy didakwa fitnah PM Anwar
Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat laporan polis hari ini terhadap tiga individu yang didakwa memfitnah berhubung pemilikan kediaman dan kenderaan digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan dibuat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Menurutnya, ketiga-tiga individu terbabit didakwa mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan memfitnah Perdana Menteri di media sosial.
Mereka ialah Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard serta Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dan blogger Raggie Jessy Rithaudeen.
Ahmad Farhan berkata, Wan Saiful beberapa hari lalu ketika berceramah mengenai isu semasa di Jerlun, Kedah juga didapati memfitnah Perdana Menteri berkenaan isu itu.
Jelasnya, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Badrul yang didakwa melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana mendedahkan butiran laporan memfitnah Perdana Menteri kepada pihak luar ketika membuat laporan kepada suruhanjaya itu baru-baru ini.
“Kenyataan dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik,” katanya kepada pemberita di luar bangunan IPD Putrajaya di sini hari ini.
Beliau turut ditemani peguam Perdana Menteri, Datuk Sankara Nair.
Kelmarin, Badrul dilapor hadir ke pejabat SPRM Putrajaya menggesa menyiasat berhubung pemilikan kediaman Anwar di Sungai Long, Kajang.
Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu menggesa SPRM menyiasat Perdana Menteri dan mendakwa rumah yang didiami Anwar adalah milik “tauke Cina yang penuh misteri.”
Dalam sidang media yang diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Sehubungan itu, Ahmad Farhan berkata, pihaknya juga mempunyai bukti kukuh yang menyangkal dakwaan serta kenyataan dibuat Badrul itu adalah palsu.
BACA JUGA Pas disaman sebar fitnah, kaitkan Kit Siang dengan 13 Mei