Cikgu puji menteri: ‘Ini memang ‘power’, saya sangat ‘respect’

Seorang guru yang mewakili ribuan rakan sekerjanya mengucapkan pujian dan penghargaan yang tinggi kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan beberapa keputusan yang meringankan beban tugas guru bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata, beliau benar-benar tidak sangka tindakan yang berkaitan kebajikan guru seperti isu pelantikan pengawas peperiksaan awam ditangani pada kadar segera.

“Saya betul-betul tidak sangka sepantas ini tindakan dan perubahan KPM (Kementerian Pendidikan). Kita betul-betul boleh respect kali ini.

“Belum pernah lagi dalam sejarah, perubahan paling pantas dilakukan. Belum pernah dalam mana-mana zaman pentadbiran YB dan kerajaan sebelum ini…

Fadhlina Sidek

“Kali ini paling pantas. Semalam (kelmarin), saya tulis dua tugasan yang paling cikgu tidak minat tetapi dipaksa iaitu menjadi pengawas peperiksaan dan warden.

“Hari ini (19 Februari), sudah keluar kenyataan media daripada KPM bahawa Lembaga Peperiksaan akan ambil (urusan pelantikan pengawa peperiksaan awam), buka kepada penuntut IPG (Institut Pendidikan Guru) dan IPT (Institut Pendidikan Tinggi), pesara guru dan penjawat awam… akan buka macam SPR.

“Jadi, siapa yang berminat boleh mohon, boleh dapat elaun,” katanya dalam satu klip video yang tersebar di TikTok.

Semalam, Fadhlina dalam kenyataan mengeluarkan keputusan berkaitan tujuh langkah segera yang diambil, dalam teras kelima KPM dengan tumpuan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi guru, hasil daripada laporan awal diterima.

Menurutnya, kesemua langkah tersebut akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Selain pelantikan pengawas peperiksaan awam yang terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat turut diumum pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat, yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid

Antara langkah lain yang diputuskan ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), yang membabitkan guru kepada setahun sekali sahaja.

Ini bermakna waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid adalah lebih fleksibel kepada guru, iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang, bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

Mengulas lanjut, Cikgu Fadli berkata, pengumuman KPM susulan hantarannya di Facebook yang meraih kira-kira 15,000 ‘likes’, ratusan perkongsian dan ribuan komen menjadikan tiada lagi wujud situasi “paksa rela” selepas ini.

“Ribuan komen itu adalah luahan hati para guru yang sangat tidak puas hati ‘dipaksa rela’ menjadi pengawas peperiksaan.

“Dalam setiap kali taklimat, pengawas peperiksaan ini sebelah kaki di penjara sebab ada Akta Kerahsiaan. Silap-silap boleh kena tindakan, dibuang kerja atau dimasukkan dalam penjara.

“Semalam (kelmarin) tulis, hari ini (semalam) keluar (kenyataan media) yang memberi kuasa kepada LPM untuk memilih pengawas peperiksaan.

“Semuanya, berkuatkuasa bermula sesi tahun ini. Memang ‘power’. Memang pantas. KPM bukan sekadar dengar dan terus bertindak. Ini memang ‘power’. Saya sangat sangat ‘respect’.

“Selepas dipanggil sesi libat urus, nampak betul YB mendengar. Tapi isu pengawas peperiksaan tidak masuk pun dalam sesi libat urus tapi di media sosial saja. Tapi beliau dengar dan bertindak,” ujarnya.

Guru Matematik yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu berpendapat, pengumuman terbaharu menteri itu telah menambahkan rasa percaya guru dan ibu bapa kepada KPM.

“Sebelum ini kepada KPM, melihat suara-suara kita (guru) tidak didengari. Hanya suara dari atas kepada bawah.

“Dia (KPM) tidak hendak dengar suara akar umbi. Kali ni betul-betul ‘power’ (mendengar luahan guru),” pujinya lagi.

BACA JUGA Jangan lepas peluang buat saringan kesihatan percuma bernilai RM3,000