CPTPP takkan beri kesan negatif ke atas sektor pertanian

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong memberi jaminan bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak akan meninggalkan kesan negatif ke atas sektor pertanian.

Menurut beliau CPTPP melindungi kepentingan petani tempatan kerana ia merupakan di antara sebilangan kecil perjanjian perdagangan bebas yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.

“Ia jelas bahawa CPTPP tidak akan membawa kesan negatif kepada sektor pertanian,” kata beliau semasa menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Ia juga tidak akan menjejaskan subsidi untuk pengeksportan pertanian, tambah beliau.

“Dakwaan bahawa CPTPP tidak akan membenarkan kerajaan melaksanakan pengharaman ke atas pengeksportan bahan makanan asas seperti ayam adalah tidak benar,” kata beliau yang turut menambah bahawa ini tidak menyebabkan penghapusan duti import ke atas produk pertanian secara mengejut.

Liew berkata bahawa Malaysia banyak bergantung kepada pengimportan makanan hingga 50 peratus makanan dalam negara diimport.

“Untuk 2020, purata duti import untuk produk pertanian ialah 13.8 peratus dan ia merudum ke 7.9% pada 2021,” kata beliau.

Pada masa sama Malaysia telah diberikan tempoh 16 tahun untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan duti import, termasuk ke atas produk pertanian, katanya.

Beliau menambah bahawa Malaysia tidak perlu menghapuskan duti import ke atas ayam dan telur di bawah CPTPP dan mengekalkan sistem kuota kadar tarif.