Cukai jalan sudah boleh guna mod paparan digital

Tidak timbul lagi isu pelekat lesen kenderaan motor (LKM atau ‘roadtax’) rosak selepas ini memandangkan pemilik kenderaan persendirian sudah boleh menggunakan mod paparan digital.

Inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, paparan digital lesen itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu.

“Ia termasuk motosikal dan juga mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Paparan Digital LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) di Putrajaya pagi ini.

Walau bagaimanapun, kata Anthony, pemandu dan pemilik kenderaan masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat LKM seperti kebiasaan.

Menurutnya, orang awam boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.