Cukai taksiran rumah strata, teres Putrajaya dikurangkan lima dan 20 peratus – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa dua di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata selain rumah mampu milik sebanyak lima peratus dan pemilik kediaman teres sebanyak 20 peratus.

Perdana Menteri berkata pengurangan cukai taksiran ini diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas tahun 2017 di mana potongan akan diberikan terhadap jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

“Saya ambil peduli keluhan daripada pemilik harta selain rumah mampu milik di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Setelah meneliti penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa 2 di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak lima peratus dan pemilik kediaman teres sebanyak 20 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan cukai taksiran itu melibatkan sejumlah hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas tahun 2017.

Jelasnya langkah itu akan mula dilaksana mulai 1 Julai 2023 sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.

“Pengurangan ini juga adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui elemen Ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup yang lebih luas.

“… bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk dalam mendepani kos sara hidup khususnya kepada golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya,” katanya.

Pada 22 Disember lalu Perdana Menteri mengumumkan semua kediaman berharga di bawah RM300,000 sekitar Putrajaya diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan mulai 1 Januari lalu.

Pengurangan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan mengurangkan bebanan rakyat terutamanya golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

Katanya potongan sebanyak 30 peratus diberikan kepada premis kediaman yang siap dibina pada 2017 sehingga kini yang membabitkan hampir 8,500 unit kediaman.

BACA JUGA: Anwar mahu penjawat awam kemudi tugas besar negara, beri kepercayaan penuh