Daftar karya seni sebagai harta intelek

Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyeru penggiat seni untuk mendaftarkan karya mereka sebagai harta intelek kerana ia harta yang mesti diiktiraf.

“Sama juga dengan bakat berlakon dan seumpamanya.. itu semua mesti kita patenkan, rakamkan dan didaftarkan di bawah pengurusan harta intelek kerana itulah ‘harta’ saudara-saudara sekalian yang mesti diiktiraf oleh negara.

“Malaysia juga adalah antara sebuah negara mungkin yang terbaik sekarang ini, tetapi insya Allah dalam pentadbiran Kerajaan Madani ini, saya yang mengetuai kementerian ini akan memastikan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang mengiktiraf apa jua sumbangan artis kepada negara dan bangsa satu hari nanti.

“Saya melihat banyak lagi kerja-kerja kita yang perlu diperhaluskan dan disistemkan, bukan sekadar bual-bual kedai kopi dan tinggal, tidak begitu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sumbangan Rahmah Industri Muzik, di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata ia bukanlah satu kerja yang mudah dan memerlukan kerjasama daripada ramai pihak.

“Saya harap akan ada langkah susulan dan penglibatan yang lebih konstruktif yang akan kementerian saya lakukan demi menyelesaikannya secara tuntas.

“Ia bukan satu kerja yang mudah dan memerlukan kerjasama pihak artis sendiri, syarikat rakaman supaya ini semua akan membuahkan satu hasil ke arah kita menunaikan tanggungjawab agar setiap hak artis, akan diberikan pembelaan oleh undang-undang dan peraturan yang ada dalam negara kita,” ujarnya lagi.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Salahuddin sambil disaksikan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim.

Program Amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik diuruskan oleh RIM dan pengamal industri muzik. Pegawai perhubungan awam syarikat rakaman turut disertakan di dalam RIM.

Anggota RIM yang menghadapi kesusahan boleh memohon bantuan kewangan daripada sumbangan Rahmah tersebut.