Dakwa dihalang hadiri majlis: Zahid saran MB Kedah sebar ‘arahan’

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor boleh menyebarkan arahan atau pekeliling yang kononnya menghalang dia hadir mana-mana majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan itu boleh dilakukan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkenaan jika dakwaannya itu benar.

Beliau menegaskan tiada larangan terhadap Sanusi untuk menghadiri program rasmi Kerajaan Persekutuan tetapi mungkin arahan yang diterima pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu disampaikan secara peribadi bukannya secara bertulis.

“Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk melarang beliau (Muhammad Sanusi) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan Persekutuan.

“Melainkan jika arahan itu dikeluarkan pada beliau secara peribadi, namun saya tidak mengetahui mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di Muar, hari ini.

Terdahulu, Sanusi dilapor mendakwa wujud kertas arahan Kabinet yang menghalangnya hadir ke majlis Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kertas arahan itu ditunjukkan sendiri kepada pegawai pejabatnya kelmarin oleh pegawai sebuah kementerian yang menghadiri mesyuarat di Langkawi.

Semalam, Sanusi menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, dia dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bakal berlangsung Mei depan.

Dakwanya lagi, itu adalah keputusan terbaharu yang diambil Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA JUGA Sanusi dikecam selepas dakwa KPKT ancam kepentingan kaum