
Dakwa kerajaan beri kerakyatan pada 54,000 warga China, Fahmi perjelas hal sebenar
Menteri Komunikasi dan Digital Multimedia, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dakwaan Kerajaan Perpaduan akan memberi status kerakyatan secara besar-besaran kepada warga China adalah tidak benar.
Ini selepas tular dakwaan kononnya kerajaan sedang dalam proses memberikan status kerakyatan kepada 54,000 warga China yang dikaitkan dengan DAP
Fahmi dalam satu perkongsian video di TikTok berkata,
angka itu sebenarnya adalah jumlah keseluruhan permohonan yang diterima dari 2017 hingga 2022.
Namun daripada jumlah itu hanya 45 individu yang telah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia dari 2017 hingga kini.
“Sebenarnya angka 54,000 yang disebut-sebut itu adalah jumlah keseluruhan permohonan yang diterima. Itu pun bukan untuk 2023.
“Itu angka keseluruhan permohonan dari 2017 sehingga 2022. Jadi berapa sebenarnya yang telah diluluskan?
“Berdasarkan penjelasan dari Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dari 2017 hingga kini hanya 45 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.
“Itu pun hanya setelah seseorang itu penuhi syarat yang diperuntukkan mengikut bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan kaedah-kaedah kewarganegaraan 1964,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin Nasution menafikan dakwaan bahawa kementeriannya sedang dalam proses memberikan kerakyatan Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.
Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai satu tohmahan dahsyat yang dilontar tanpa rasa tanggungjawab sehingga memberi kesan terhadap usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika ini.
Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan untuk menjadi pengundi DAP.