Dakwaan campur tangan politik: AMK buat laporan polis terhadap Mahiaddin

Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin susulan kenyataan yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.

Timbalan Ketua AMK KEADILAN, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan itu dibuat agar pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana ia mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadap institusi penguatkuasaan dan kehakiman negara.

“Kenyataan yang dilemparkan itu merupakan satu tohmahan dan juga fitnah untuk mencipta satu persepsi negatif yang tidak baik terhadap Perdana Menteri.

“Ini seolah-olah menggambarkan bahawa di sana (penguatkuasaan) wujudnya campur tangan di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Mahiaddin mencipta rekod jadi Perdana Menteri kedua diheret ke mahkamah selepas Najib.

Jelasnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan yang diambil itu adalah bebas tidak ada campur tangan mana-mana pihak seperti yang didakwa.

“Ini adalah penting untuk menunjukkan bahawa badan SPRM dan AGC yang melakukan siasatan dan tindakan dengan bebas dan berintegriti.

“Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahiaddin adalah satu kenyataan fitnah dan perlu ada tindakan yang tuntas oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.

Pada 10 Mac lalu, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa enam pertuduhan ke atasnya merupakan satu bentuk konspirasi politik.

Presiden Bersatu didakwa terlibat dalam salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah.

Mahiaddin juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.

Jika disabit kesalahan, bekas timbalan Perdana Menteri itu boleh disabit penjara maksimum hingga 15 tahun.

BACA JUGA ‘KP SPRM dilantik masa Pagoh jadi PM, kenapa tuduh ada pendakwaan terpilih?’