Dari pertemuan di panas mentari ke dewan berhawa dingin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan satu lagi perkara baharu apabila membuat pertemuan bulanan dengan kakitangannya di dewan berhawa dingin.

Bulan lalu, PM Anwar bersungut, kenapa pertemuan bulanan beliau dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu dibuat di tengah panas.

Hari ini, pertemuan beliau berjalan di dalam dewan tertutup yang berhawa dingin. Ia telah melanggar amalan biasa sejak berzaman apabila perdana menteri membuat pertemuan bulanan dengan kakitangan JPM di padang atau kawasan lapang bukannya di dalam dewan.

“Pagi ini bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri dalam sesi Perhimpunan Bulanan di Putrajaya,” tulis Anwar menerusi Facebook beliau.

Anwar dan pemimpin kanan JPM bertemu kakitangan JPM dalam dewan tertutup hari ini.

Dengan perubahan tempat perhimpunan mereka, Anwar menggesa kakitangan juga melaksanakan perubahan.

“Saya menggesa penjawat awam laksanakan perubahan bagi mengangkat negara ke arah lebih baik,” kata Anwar.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau telah mengingatkan Jamaah Menteri dan penjawat awam agar bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya turut mengingatkan Jemaah Menteri dan penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dengan menerapkan elemen amanah dan keyakinan.

“Elemen ini perlu diterapkan dalam usaha membebaskan segala ketelanjuran yang pernah dan mungkin berlaku,” kata beliau.

Anwar disambut gembira kakitangan JPM dalam pertemuan bulanan beliau dengan mereka.

Beliau yakin, ia boleh dicapai berdasarkan komitmen dari Jamaah Menteri dan juga penjawat awam.

“Alhamdulillah, setakat ini ada keinginan baik daripada pimpinan atau penjawat awam untuk mengorak langkah dengan lebih pantas dan bertanggungjawab,” katanya.

 

BACA JUGA Penjawat awam jangan takut lapor salah laku

JUGA Bekas Setiausaha Politik Saifuddin fitnah Anwar beli helikopter baharu