Dasar Rumah Selangorku 3.0 ditambah baik, rakyat akan mampu miliki rumah

Pelaksanaan dasar perumahan Rumah Selangorku 3.0 adalah sebagai penambahbaikan untuk memastikan ianya sentiasa relevan untuk diaplikasikan dalam industri hari ini.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata melalui dasar baru ini, kerajaan negeri sudah melangkah satu era baharu dalam pembangunan perumahan yang lebih mampan dan kondusif.

Menurutnya, diharapkan ianya dapat memberikan momentum yang baik dalam merancakkan sektor pembinaan perumahan di negeri Selangor.

“Penambahbaikan dasar Rumah Selangorku 3.0 ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti zon pembangunan, komponen pembangunan, spesifikasi, kawalan pembangunan dan penguatkuasaan.

“Apa yang menarik berkenaan dasar ini adalah ianya menawarkan pilihan unit berdasarkan keperluan seperti golongan bujang disediakan jenis solo (satu bilik), golongan berkahwin untuk jenis duo (dua bilik) dan trio serta quad (tiga bilik),” katanya pada sidang media di Pullman Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata penyediaan rumah satu bilik dan dua bilik ini telah dilaksanakan di negara maju seperti di Singapura dan United Kingdom di mana ianya realistik untuk dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi.

Katanya lagi, dasar Rumah Selangorku 3.0 ini juga mensyaratkan penyediaan rumah jenis tersebut dibangunkan hanya di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), Pembangunan Bersebelahan Transit (TAD), Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) dan di seluruh kawasan Majlis Bandaraya.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, berkata langkah ini adalah bagi memastikan semua golongan masyarakat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.

“Rumah Selangorku ini ditawarkan pada harga bermula RM114, 750 seunit sehingga RM250,000 seunit.

“Selain daripada itu, kerajaan negeri telah memikirkan kaedah bagi memudahkan pembeli rumah pertama yang mana setiap pembelian Rumah Selangorku kali ini adalah termasuk dengan kos guaman, kos pindah milik (MOT) dan kos penyelenggaraan selama dua tahun yang akan dibiayai oleh pemaju,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap dasar ini dapat mendukung kestabilan sektor hartanah perumahan di Selangor untuk terus kekal bertahan dan seterusnya memberi impak yang besar kepada pemulihan ekonomi Malaysia.

BACA JUGA Program Saring Selangor diteruskan, manfaat 31,000 penerima