Datasonic peroleh 9 kontrak bernilai RM1.1 bilion

Syarikan Datasonic Technologies Sdn Bhd mempunyai sembilan kontrak yang berkuatkuasa dengan Kementerian Dalam Negeri yang bernilai RM1,103,441, 303.50.

Lima dari sembilan kontrak ini berada di bawah Jabatan Imigresen Malaysia manakala bakinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Tujuh dari sembilan kontrak tersebut diberikan secara rundingan terus di antara tahun 2016 hingga 2022.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail, kontrak perolehan sistem e-gate warga asing (MACS-XP) di pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar Johor yang sepatutnya tamat dalam bulan Ogos 2022 telah dilanjutkan hingga Ogos 2023 bernilai RM5,777,000.00.

Projek ini diberikan secara rundingan terus dengan surat kelulusan Kementerian Kewangan bertarikh 5 Mac 2021.

Kontrak pembekalan kad pekerja asing (I-Kad) sejak Nov 2022 hingga 31 Oktober 2025 bernilai RM140,000,000.00 juga adalah kontrak rundingan terus.

Kontrak pembekalan cip pasport lima tahun ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport ialah kontrak selama lima tahun yang sepatutnya tamat pada Nov 2021 tetapi dilanjutkan selama dua tahun hingga Nov 2023. Kontrak yang diperoleh secara rundingan terus ini bernilai RM350,140,000.

Kontrak pembekalan dokumen pasport Malaysia selama lima tahun yang sepatutnya berakhir pada bulan Nov 2021 telah dilanjutkan sehingga November 2023 bernilai RM223,376,400 juga ialah kontrak rundingan terus.

Kontrak terakhir dengan Jabatan Imigresen ialah kontrak pembekalan muka surat biodata polycarbonate. Kontrak 45 bulan yang tamat dalam bulan November 2021 telah dilanjutkan sehingga November 2023 bernilai RM270,712,800 juga adalah kontrak rundingan terus.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang menyoal penganugerahan kontrak kepada Datasonic, status kontrak dan jumlah pembabitan ahli keluarga pemimpin utama kerajaan lepas.

Datasonic juga terlibat dalam kontrak pembekalan kad mentah MyKad, MyTentera, MyPoca selama setahun hingga Februari 2023 untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kontrak yang diperoleh secara rundingan terus ini bernilai RM50,118,868.

Seterusnya ialah kontrak pembekalan peralatan perisian untuk percetakan teragih MyKad di bawah projek transformasi Bandar di Pulau Pinang selama setahun hingga April 2023 bernilai RM1,070,000.00.

Kontrak perkhidmatan penyelenggaraan pusat pengeluraran kad secara komprehensif di JPN selama dua tahun akan tamat pada Mei 2023 bernilai RM39750,000 ialah tender terbuka.

Kontrak perkhidmatan mereka bentuk, mencetak, membekal dokumen keselamatan pula diperolehi secara tender terbuka pada Mei 2022 dan akan tamat pada April 2025.

Kontrak ini bernilai RM22,496,235.50.

Saifuddin turut menyatakan bahawa Datasonic ialah syarikat milik Datasonic Group Berhad yang mempunyai status Bumiputera.

BACA JUGA: Isu kontrak diraih Datasonic: Lim Guan Eng minta KDN beri penjelasan