DBKL digesa beri perhatian segera tambah baik gerai penjaja di ibu kota

Usaha pembangunan semula dan menambah baik gerai-gerai penjaja di tepi jalan di ibu kota perlu diberi perhatian segera oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata usaha pemulihan ini perlu dilaksanakan segera termasuklah tidak merumitkan permohonan peniaga-peniaga untuk mendapatkan lesen perniagaan.

“Apakah mereka akan diberi kemudahan tersebut? Saya harap DBKL dapat kemas kini gerai penjaja dan medan selera secara moden. Proses memulihkan perniagaan ini hendaklah dilaksanakan segera.

“Bagi lesen-lesen peniaga yang dipohon peniaga atau pekedai sama ada pemohonan baru atau lama, DBKL perlu bertolak ansur dan tidak merumitkan dengan syarat-syarat yang ketat.

“Jangan cepat sangat untuk ambil tindakan ke atas penjaja yang tak berlesen. Zaman para penguat kuasa DBKL bertindak kasar sudah berlalu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis.

FONG KUI LUN

Kui Lun turut membangkitkan masalah kesesakan di pejabat imigresen di mana orang ramai terpaksa beratur panjang untuk menunggu proses mendapatkan permohonan pasport.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menambah kakitangan lebih ramai di pejabat imigresen bagi membantu melancarkan urusan orang awam.

Dalam Belanjawan 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menyediakan sebanyak RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibatkan 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan RM176 juta bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan.

Beliau berkata menaik taraf premis itu antaranya di bawah DBKL, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

Awal Januari  lalu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dipetik sebagai berkata Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM100 juta bagi 260 projek pengindahan Kuala Lumpur.

Kata beliau DBKL juga telah mengenal pasti 260 kawasan untuk dibangunkan semula.

Menurutnya, langkah itu juga dibuat susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghijaukan ibu kota berkenaan.

                         RM100 juta bagi 260 projek pengindahan Kuala Lumpur