Dengan momentum Anwar, PH boleh tarik balik pengundi Melayu

Mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yakin dengan momentum Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan boleh menguasai kembali pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau juga yakin dengan prestasi ini, Pakatan Harapan (PH) mampu menarik semula sokongan di negeri yang dikuasai Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lepas.

“Saya lihat dengan kepimpinan Anwar dan gandingan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, ia boleh memecah undi di negeri-negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan yang dikuasai PN sebelum ini,” ujar Pengarah Strategi AMANAH itu dalam satu wawancara bersama Harapan Daily merujuk kepada kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno.

Pada PRU15 yang lepas PN berjaya memperoleh majoriti besar di negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan. Di ketiga-tiga negeri itu, PN menyapu bersih kerusi Parlimen kecuali satu kerusi di Kedah iaitu Sungai Petani.

Namun, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menjangka,  jajaran baru melibatkan PH dan BN boleh memecahkan penguasaan PN pada PRN nanti.

DR DZUL YAKIN DENGAN BUKTI YANG DIBERIKAN OLEH ANWAR SEBAGAI PM, PENGUNDI MELAYU AKAN KEMBALI MENYOKONG PH.

Senada dengan itu beliau juga turut menambah momentum yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan ini boleh mengekalkan kemenangan negeri yang diterajui Pakatan Harapan pada pilihan raya sebelum ini.

“Dengan kepimpinan Anwar, akan membawa satu dinamika rakyat dan politik yang bergerak seiring ditambah dengan gabungan baru.

“Saya amat yakin dan berkeyakinan untuk kita menambah dan memperkukuhkan kerusi PH di negeri-negeri yang telah kita tadbir sebelum ini,” katanya merujuk kepada Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyelar pendekatan politik kotor yang dimainkan oleh PN dalam pilihan raya lalu yang boleh memecahkan keharmonian kaum terutamanya pada generasi muda.

“Perkara ini banyak diulas oleh penganalisis politik dengan strategi kempen yang digunakan oleh PN.

“Mereka banyak menggunakan garis agama dan perkauman sempit yang sengaja disasarkan kepada golongan muda terutama first time voters (pengundi pertama kali),” menurut beliau.

Berikutan itu, beliau menekankan peranan AMANAH perlu menonjolkan imej agama yang membawa konsep rahmah dalam masyarakat yang majmuk.

“AMANAH perlu berperanan untuk membangkitkan atau mengenengahkan citra Islam dan kepimpinan yang menaungi semua dan membawa kembali karamah insaniah.

“Kita perlu kembali kepada kepimpinan Rasulullah yang menaungi semua kabilah, agama dan yang lain termasuk musyrikin di Mekah dan Madinah,” ujar beliau

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam satu siri wawancara bersama Harapan Daily di Bangunan Wisma Amanah, Kuala Lumpur pada 16 Januari semalam.

 

LAPORAN BERKAITAN

PKP panjang punca bunuh diri, jadi alat curi dana negara