
Dewan Rakyat bertukar kecoh, Shahidan dakwa Tebrau sokong Israel
Dewan Rakyat bertukar tidak terkawal selepas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim melemparkan fitnah mendakwa Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) menyokong Israel.
Shahidan ketika bangun pada sesi soal lisan, meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai konflik di Palestin kerana dakwanya terdapat seorang Ahli Parlimen kerajaan menyokong rejim zionis Israel.
“Saya minta supaya Parlimen membuat pendirian mengenai perkara ini dan jangan biarkan satu orang buat pandangan contohnya (Ahli Parlimen) Tebrau buat pandangan yang dia menyokong Israel.
“Apakah seorang sahaja yang menunjukkan pendirian menyokong Israel, Parlimen sendiri kena buat keputusan apakah pendirian kita mengenai pembunuhan di Palestin .
“Saya minta supaya kerajaan yang bawa usul untuk menyatakan pendirian kita berhubung dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel,” katanya.
Jimmy kemudian bangun membidas fitnah dilemparkan itu dan menegaskan beliau berdiri bersama Palestin.
“Dia kata saya sokong Israel. Itu satu fitnah. Saya harap Arau boleh tarik balik pendirian itu”.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng juga meminta Shahidan mengemukakan bukti atas tuduhan terbuka yang dibuatnya terhadap Jimmy.
“Yang Berhormat Arau, ada apa-apa bukti untuk membuktikan bahawa Tebrau menyokong Israel?”
Arau: Dia sepatutnya tarik balik di luar sana sebab dia di-viralkan menyokong Israel. Kalau tak betul, bagus Alhamdulillah. Perangai saya, kalau betul dia tak cakap, ok Alhamdulillah. Tapi kerajaan sendiri kena keluarkan pendirian bahawa kita menentang perbuatan terkutuk Israel. Kamu nak tengok anak-anak dibunuh?
Jimmy: Puan Speaker, kalau tengok saya punya sosial media Facebook, saya solidariti dengan Palestin. Saya tanya soalan juga pada menteri KDN, boleh tak kita longgarkan syarat untuk perhimpunan aman agar lebih banyak perhimpunan solidariti boleh dilakukan tanpa notis 5 hari. Dewan ada rekod.
Arau: Kalau dia dah kata tak betul, dia buat penafian di luar. Sebab di Parlimen ini, kami MP terasa sebab telah viral cerita dia menyokong Israel. Kami terasa sebab Parlimen sendiri tak buat pendirian.
Alice: Yang Berhormat Arau, cukuplah Arau. Yang Berhormat Arau yang sebut dan fitnah Yang Berhomat Tebrau di dalam Dewan, jadi perlu tarik balik di dalam Dewan.
Sesi Dewan kemudian bertukar kecoh dengan beberapa Ahli Parlimen kerajaan mendesak Shahidan menarik balik tuduhan tersebut.
Shahidan bagaimanapun melengahkan masa dan cuba menegakkan dakwaannya itu biarpun telah disangkal sebagai tidak benar. Beliau juga berterusan memetik dakwaan yang sekadar tular di media sosial.
“Arau tanya saya dalam Dewan ini, adakah saya sokong (Israel)? Saya kata tidak. Apa lagi Arau nak,” balas Jimmy.
Alice juga buat kali ketiga meminta Ahli Parlimen Pas itu menarik balik tuduhannya.
“Yang Berhormat sila tarik balik dan kita teruskan sidang Dewan”
Beberapa minit kemudian, Shahidan akur sebelum menarik balik kenyataan tersebut.
“Kalau dia (Tebrau) tidak kata dia sokong Israel, dan mengaku. Saya tarik balik kenyataan tersebut,” kata Shahidan.