‘Din, aku mai Johor dan berkampung hampir tiga minggu, kita menang Din…’

‘Din, aku mai Johor dan berkampung hampir tiga minggu, kita menang Din…’

Pemergian bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu, masih dikenang sahabat seperjuangan dalam pentas politik yang akrab dengannya.

Meskipun legasi Salahuddin di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berjaya dipertahankan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam, namun nama arwah tetap segar diingatan sahabat-sahabatnya.

“Din, aku mai Johor dan berkampung di sini hampir tiga minggu… untuk pastikan kemenangan buat kita… kita menang Din…

“Al-Fatihah buat sahabatku Din…,” tulis sahabatnya, Datuk Mahfuz Omar pada satu catatan di Facebook beliau hari ini.

Sebelum kemenangan di PRK semalam, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH menzahirkan kepercayaannya bahawa masyarakat di Pulai dan Simpang Jeram akan mengekalkan legasi Rahmah di kedua-dua kawasan itu.

Februari lalu ketika dalam sidang Dewan Rakyat, Salahuddin dilapor pernah menzahirkan hasratnya berkaitan konsep Rahmah yang diperkenalkan sendiri oleh beliau.

“Cita-cita saya adalah kalau boleh Rahmah ini jadi satu value (nilai). Mungkin sampai bila-bila setiap peniaga atau antara kita yang membuka perniagaan, yang untung atau pun tidak untung, tetapi ada portion daripada perniagaan kita dah niat untuk bantu orang yang susah,” katanya.

Jihad Salahuddin selepas dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah memastikan orang-orang miskin dan susah tidak kelaparan melalui ‘Menu Rahmah’ dan ‘Harga Rahmah’.

COMMENTS

Wordpress (0)