Dipecat PKR Tian akan teruskan perjuangan

Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua yang diumum dipecat keahliannya kelmarin berjanji akan meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan.

Menurut Tian, beliau mengambil tanggungjawab kerana melanggar disiplin parti kerana telah bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu menentang calon PKR di Batu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mengambil tanggungjawab atas semua tindakan saya tanpa menyalahkan sesiapa. Saya menyertai perjuangan Reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanahair.

“Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini.

“Masih banyak lagi cabaran di hadapan kita. Saya berjanji kepada para penyokong bahawa saya tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan. Saya tidak akan undur dari berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau berharap selepas ini politik akan lebih inklusif dan bersederhana pada ketika parti parti yang bermusuhan telah pun duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun katanya, beliau yang tidak mempertikaikan kuasa kepemimpinan dalam menguatkuasakan disiplin parti agak terkilan kerana tindakan ke atasnya seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana semasa.