Dr Halimah diusul agar diheret ke JK Hak dan Kebebasan

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen telah mengemukakan usul agar Ahli Parlimen Kapar dari Pas, Dr Halimah Ali dihadapkan ke Jawantankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Dalam satu surat usul yang dikemukakan oleh Kelvin kepada Speaker hari ini, beliau mahu Dr Halimah dirujuk mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023 yang mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifat sebagai menghina Majlis.

Pada hari tersebut, Ahli Parlimen Kapar telah mengeluarkan kenyataan semasa perbahasan beliau yang menyatakan “Saya tidak ada masalah dengan istilah ’rahmah” atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autism dan sebagainya”.

Kenyataan tersebut, kata Kelvin, adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab kerana kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berdasarkan fakta dan sains, tetapi boleh menimbulkan salah faham dan stigma terhadap masyarakat autism dan OKU di Malaysia.

Katanya, Ahli Parlimen Kapar telah diberikan banyak peluang untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau.

“Namun, beliau tetap cuba mengelirukan Dewan dan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam beberapa kenyataan umum termasuk satu kenyataan di dalam Dewan di mana beliau menyuruh kita merujuk ke Hansard untuk membuktikan bahawa kenyataan tersebut tidak pernah dituturkan,” kata surat usul itu.

Namun, katanya, mengikut Hansard pada 14 Februari 2023, termasuk rakaman video Parlimen jelas menunjukkan bahawa beliau jelas mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Oleh itu, saya mencadangkan bahawa Dewan ini merujuk Ahli Palimen Kapar ke Jawantankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan -Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

 

BACA JUGA Dakwa buruk tentang Menu Rahmah, Dr Halimah perlu minta maaf

JUGA Kecaman MP Kapar terhadap Menu Rahmah menghasilkan ‘Menu Halimah’