
Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes ugut PM, Timbalan KPN
Dua lelaki tempatan ditahan polis secara berasingan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang, semalam, bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial.
Hantaran itu mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, lelaki pertama yang disyaki pemilik atau pengendali Facebook Nekad Hikers Ventures berusia 51 tahun ditahan di kawasan Bandar Baru Bangi, Selangor.
Jelasnya, lelaki kedua pula yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook Jgad Zruu berusia 27 tahun ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan kemudahan rangkaian dan lain-lain secara tidak wajar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan memandangkan kes masih di peringkat siasatan.
“PDRM menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu sensitif, terutama membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Fitnah 200 pusat tahfiz ditutup, polis buka kertas siasatan