
Dua pasukan petugas khas percepat pengasingan peranan peguam negara, pendakwa raya
Dua pasukan petugas khas ditubuh bagi mempercepatkan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sekali gus memastikan tadbir urus lebih demokratik dan mantap, selain meningkatkan pentadbiran undang-undang.
Dua pasukan petugas khas tersebut ialah Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
“Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dicadangkan terdiri daripada saya sendiri serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Pasukan ini menjalankan kajian berdasarkan keterangan atau ‘evidence-based research’ ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global,” maklum beliau menerusi kenyataan, hari ini.
Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan salah satu perkara yang tertera dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
Selain itu, seruan untuk pengasingan peranan kedua-dua jawatan ini menjadi lantang ekoran dari keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari 47 tuduhan berkaitan dengaan Yayasan Akal Budi.
Menurut Azalina lagi, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang dicadangkan dikendalikan sepenuhnya AGC dan BHEUU, akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan.
Katanya, pasukan berkenaan akan menyediakan laporan interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Sesi libat urus atau perbincangan bersama pihak-pihak pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pihak-pihak lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa terdekat,” katanya.
Azalina menyifatkan, agenda reformasi itu penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik.