Dulu Kelantan mahu bina litar lumba tapi kini jadi tempat buang sampah?

Seluas hampir 50 ekar tanah yang dikatakan untuk membina litar lumba didakwa digunakan untuk tempat pembuangan sampah Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

Pempengaruh dari Kelantan, Wan Mahussin Wan Zain mendedahkan perkara tersebut dan meminta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan Wan Roslan Wan Hamat memberi penjelasan.

“Tapak Litar ini telah dipecahkan lot dan diberikan kepada ‘Orang Besar’.

“Tanah yang kini tinggal lima ekar tidak dapat menampung jumlah sampah sehingga melimpah keluar ke tepi jalan,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Wan Mahussin Wan Zain

Anak muda itu berkata, Wan Roslan sebelum ini mencabarnya berkenaan isu tersebut.

Pada 15 Mei 2010, dilaporkan Kelantan bercadang membina sebuah litar perlumbaan kereta dan motosikal seluas 19.2 hektar bernilai RM10 juta di Tanah Merah, Kelantan.

Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, projek itu dilakukan dengan usahasama sebuah syarikat swasta.

Katanya, sebelum ini ramai peminat lumba kereta dan motosikal, termasuk golongan ‘Mat Rempit’ tidak mempunyai gelanggang khas untuk melakukan aktiviti sukan permotoran.

Walau bagaimanapun, dilaporkan baru-baru ini, wujud keadaan sampah yang melimpah di kawasan hutan dan bukit di laluan Tanah Merah – Jeli.

BACA JUGA Tunggakan, bil semasa TNB LRA Kelantan cecah 35.2 juta