
Dusuki tarik balik rayuan saman fitnah terhadap Mujahid, diperintah bayar RM5,000
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas menteri agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ahmad Dusuki memfailkan saman ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.
Mujahid dalam hantaran di Facebook berkata, penarikan rayuan itu diberitahu peguamnya, Noorazmir Zakaria di mana plaintif (Ahmad Dusuki) diperintah membayar kos RM5,000 kepada Mujahid
“Alhamdulillah. Saya hari ini telah dihubungi oleh Peguam saya, Noorazmir Zakaria, bahawa Dusuki Rani telah menarik balik rayuannya terhadap saya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak Pas sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya.
Kos keseluruhan yang perlu dibayar Ahmad Dusuki kepada Mujahid ialah berjumlah RM23,000.00 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH membuat ciapan tiga tahun lalu selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.
Pada 14 September 2020, Mahkamah Sesyen menolak saman fitnah difailkan Ahmad Dusuki dengan kos RM11,000, selepas mendapati ciapan Twitter Mujahid tidak berbentuk fitnah kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan islam.
Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Tinggi juga menolak rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Sesyen. Beliau diperintah membayar kos RM7,000.
Dusuki yang masih tidak berpuas hati telah merayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, namun kini beliau telah menarik semula rayuannya.
Mujahid menegaskan, ketika Mahkamah Sesyen menolak saman Ahmad Dusuki terhadapnya, Mahkamah Sesyen telah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.
Di peringkat Mahkamah Tinggi pula, ketika menolak rayuan pemimpin Pas itu, mahkamah sekali lagi telah mengesahkan bahawa ciapan Mujahid mempunyai justifikasi.
Keterangan menunjukkan ciapan yang dipertikai itu merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan plaintif (Ahmad Dusuki) yang disiarkan di YouYube pada 20 Februari 2020 bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.
Kedua, terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan diperbadankan.
Ketiga, mahkamah mengesahkan Tabung Haji tidak dikuasai oleh orang bukan Islam.
“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Peguam saya Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir.
“Semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir,” ujarnya
BACA JUGA Mahkamah tolak lagi rayuan Dusuki terhadap Jeming, diperintah bayar kos
Alhamdulillah.