Majlis Ilmu MADANI: Elak jadi mangsa kefahaman mengelirukan

Majlis Ilmu MADANI: Elak jadi mangsa kefahaman mengelirukan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kefahaman tentang ilmu perlu menjadi teras dalam membangunkan Malaysia MADANI dan menegakkan syiar Islam.

“Maka tidak kira siapa, semua harus ada kefahaman asas tentang Islam… (selain) untuk menyelamatkan diri dan keluarga, tetapi juga untuk mengelakkan daripada menjadi alat atau mangsa kefahaman yang mungkin mengelirukan sama ada fahaman barat atau fahaman yang boleh melemahkan kekuatan Islam,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Putrajaya hari ini.

Tazkirah malam ini disampaikan Mudir Pertubuhan Mujamma’ Ibnu Sunni Lit Talaqqi di Pendang, Kedah, Abdullah Abdul Rahman atau juga dikenali Tuan Guru Abdul Rahim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kediaman rasmi Perdana Menteri iaitu Seri Perdana sering mengadakan majlis ilmu secara berkala supaya tradisi budaya ilmu itu dapat dihayati.

Beliau berkata dalam Islam, jika terdapat perbezaan pendapat ia perlu ditangani secara bijaksana dan berhikmah.

Anwar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama memastikan kefahaman tentang Hadis 40 Imam Nawawi dapat diserapkan dalam kalangan pelajar sekolah.

“KPM dan menterinya (Fadhlina Sidek) dan menteri agama (Mohd Na’im) akan bersama memastikan semua anak-anak Islam membaca, selain kurikulum ditetapkan, Hadis 40 Imam Nawawi,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Mahabbah Ulama: Tingkat ilmu, akhlak, tegakkan keadilan – Anwar

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )