Elaun khas, pingat perkhidmatan untuk petugas misi kemanusiaan di Turkiye, Syria

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang untuk mengatur elaun khas kepada semua petugas keselamatan Malaysia yang menyertai bantuan misi kemanusiaan ke Turkiye dan Syria.

Beliau berkata, pemberian elaun khas itu sebagai tanda penghargaan kepada semua petugas yang berkhidmat hampir dua minggu bagi menyelamatkan mangsa-mangsa gempa bumi terburuk yang melanda negara itu.

Selain itu bagi menambah makna kepada penghargaan itu, Anwar mencadangkan agar satu pingat perkhidmatan khas dikeluarkan dan diberikan kepada semua petugas yang berhempas pulas di sana.

“Kita juga kena keluarkan sijil penghargaan. Saya usulkan buat pingat khidmat khusus untuk semua yang bertugas

“Saya cadangkan kita mengatur elaun khas kepada setiap yang berkhidmat berdasarkan hari mereka bertugas. Ada yang mencecah 2 minggu di sana.

“Elaun khas ini ditetapkan bagi tiap individu mengikut tempoh khidmat mereka. Saya akan bincang dengan perbendaharaan tentang jumlah bersesuaian,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama katanya, pasukan petugas keselamatan sepatutnya perlu pulang semula ke Malaysia selepas dua minggu, namun Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memohon agar dilanjutkan tempoh anggota-anggota untuk berada di sana.

“Bicara saya dengan Presiden Edorgan, dia mohon, kalau boleh diteruskan kerana terlalu banyak mayat masih tertimbus yang memerlukan usaha. Dan saya beri kebenaran mereka teruskan.

“Namun andai kata ada beberapa orang punyai masalah kesihatan, mereka akan diizinkan pulang segera,” katanya lagi.

Sementara itu, Anwar memaklumkan kerajaan Malaysia berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM50 juta bagi membantu mangsa di Turkiye dan Syria.

Beliau berkata sejumlah RM40 juta telah disalurkan kepada Turkiye manakala RM10 juta lagi untuk Syria.

Dana itu termasuk RM4.4 juta yang disumbangkan Kerajaan Persekutuan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, manakala bakinya disumbangkan beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat.

Dalam ucapan penghargaannya, Anwar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menjadi penyumbang terbesar sebanyak 5 juta euro bersamaan RM23.5 juta.

Ia diikuti Tan Sri Syed Mokhtar Shah Al-Bukhary dengan sumbangan RM10 juta. Turut memberi sumbangan ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina di Malaysia yang menyalurkan 1 juta dolar US bersamaan RM4.4 juta.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah  pula menyumbang 10 juta pasang sarung tangan perubatan bernilai RM1.2 juta.

Hubungan rapat dengan Turkiye

Beliau turut menjelaskan mengapa Malaysia mengambil tindakan pantas untuk menghantar bantuan ke Turkiye.

Anwar menjelaskan bahawa Malaysia dan Turkiye mempunyai hubungan persahabatan dua hala yang rapat, berbeza dengan jalinan negara lain.

Ujarnya, ketika lawatan ke Turkiye bagi memberi sokongan moral semalam, Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan tidak putus-putus memuji Malaysia sebagai negara terawal yang menggerakkan bantuan ke negara itu.

“Presiden Erdogan sendiri menyebut bahawa pasukan Malaysia antara terawal memberi khidmat yang sangat cemerlang menyelamatkan 5 nyawa yang tertimbus 5 meter ke dalam runtuhan bangunan. Selain itu berjaya membawa ratusan jasad yang lain.

“Memang ada yang bertanya mengapa dalam kes ini Malaysia mengambil langkah yang agak kedepan dan ada yang mengatakan agak berlebihan

“Saya nak katakan pertamanya, kadar kerosakan itu agak berskala besar yang jarang berlaku sebelum ini melainkan masa tsunami melibatkan Acheh di Indonesia.

“Yang keduanya adalah tentang persahabatan istimewa bukan sahaja peribadi tetapi antara dua negara,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama kata Anwar, Turkiye juga antara negara yang selama ini memberi pertolongan kepada Malaysia secara langsung dan tidak langsung.

“Ini jarang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan negara-negara lain.

“Sebab itu hari ini kita telah berjaya mengumpul dana yang agak membanggakan untuk Turkiye dan Syria sebanyak RM50 juta,” kata beliau.