
Elaun Sara Hidup pelajar tajaan KPT dinaikkan tahun depan
Kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar baharu dan sedia ada di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan dinaikkan bermula tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenaikan kadar ESH itu akan memanfaatkan seramai 24,729 pelajar berkenaan untuk melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara di bawah Program Penajaan KPT dan akan melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM30.78 juta.
“Kerajaan sentiasa menitikberatkan soal kebajikan pelajar tajaan dan serius membantu menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan 2023, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, kadar ESH akan dinaikkan sebanyak 15 peratus bagi pelajar sarjana atau doktor falsafah (PhD) sedia ada dan baharu di luar negara serta di bawah Program MyBrainScience.
Turut dinaikkan ialah kenaikan kadar ESH sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara, katanya.
Kenaikan itu melibatkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang institut pengajian tinggi (IPT), Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Program MyBrain 2.0, katanya.
Dalam masa sama, Khaled berkata, KPT akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada hanya satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda RM730, Ijazah Sarjana RM800 dan PhD RM1,000.
BACA JUGA PM Anwar arah semua universiti terima kemasukan pelajar miskin