
Enam pilihan raya negeri ujian untuk Malaysia jadi juara
Saya tidak bersetuju dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang mahu enam pilihan raya negeri untuk menjadi satu ujian pungutan suara terhadap Kerajaan Perpaduan Anwar.
Saya lihat enam pilihan raya negeri ini sebagai permulaan ujian sama ada Malaysia kini sedang berlumba merosot menjadi sebuah negara yang berpecah belah dan gagal atau berlumba ke atas menjadi juara dunia dan contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak boleh membazirkan peluang untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas sebuah Malaysia yang majmuk – kerana peluang sebegini tidak mungkin akan muncul lagi buat kali kedua.
Kerana inilah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah menasihati semua rakyat Malaysia untuk mengekalkan kestabilan politik dan memulihkan perpaduan negara supaya rakyat Malaysia mampu untuk menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan Anwar ini telah memberikan peluang unik untuk kita tetapkan semula dan kembalikan negara kepada prinsip-prinsip pembinaan negara Malaysian yang majmuk – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Adakah kita ingin terus bertelagah di antara satu sama lain dan membiarkan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur untuk terus mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara melalui penipuan, fitnah, dan berita palsu yang kononnya ada kaum atau agama tertentu sedang diancam untuk dihapuskan oleh kaum atau agama lain, atau adakah kita akan bangkit kepada realiti yang “Masa tidak Menunggu Sesiapa” dan persaingan sebenar untuk rakyat Malaysia adalah bukan di antara kita tetapi sebenarnya dengan seluruh dunia.
Adakah rakyat Malaysia akan terus untuk berhijrah ke luar negara untuk menjadikan negara lain yang hebat atau adakah kita akan bersatu padu dan memastikan adanya kestabilan politik untuk menjadikan Malaysia yang hebat?
Semasa Perang Dingin tamat, Fukuyama muncul dengan satu teori mengenai “Penamat Sejarah”, di mana berakhirnya perang dan tragedi dan permulaan satu era baharu di dunia yang bebas dari sebarang ancaman.
Perkara ini terbukti sebagai khayalan di mana kita dapat lihat lebih banyak perang dan konflik serantau meletus, mengancam keamanan dan keselamatan dunia.
Bolehkah Malaysia menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian dunia untuk mengelakkan pertembungan di antara tamadun?
Saya percaya Malaysia, yang berada di titik pertemuan empat tamadun hebat, mampu memainkan peranan ini.
Tetapi rakyat Malaysia perlulah bersatu padu terlebih dahulu, dan memastikan terdapatnya kestabilan politik di dalam negara.