
Exco kata konsert patuh syariah tapi video papar remaja Kelantan bebas bercampur
Walaupun Exco kerajaan negeri Kelantan tampil menjawab bahawa konsert kemuncak program Karnival Jom Heboh kelmarin patuh syariah tetapi klip video tersebar menunjukkan sebaliknya.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di platform TikTok dilihat remaja lelaki dan perempuan bukan mahram di negeri digelar Serambi Makkah bebas bercampur tanpa pengasingan seperti didakwa.
Mereka sepertimana pengunjung konsert di negeri lain dilihat gembira bebas bersorak, berhimpit dan bersama-sama menyanyi tanpa penjarakan lelaki dan perempuan.
Percampuran jantina semasa konsert itu antaranya jelas dilihat semasa persembahan penyanyi Nizam Laksamana yang mendendangkan lagu ‘Tika dan Saat Ini’.
Semasa persembahan Nizam itu, anak muda bahkan kanak-kanak Kelantan dapat disaksikan jelas bercampur rapat lelaki dan perempuan. Mereka berdiri mengasak pagar penghadang sambil turut sama menyanyi beramai-ramai selain ada merakam video.
Remaja Kelantan yang majoritinya penyokong Pas seperti terbukti dalam keputusan pilihan raya negeri lalu juga nampaknya bebas bergaul sambil menjerit dan terangguk-angguk menikmati lagu serta terkinja-kinja semasa lagu rancak dipersembahkan.
Menerusi paparan beberapa rakaman klip video semasa konsert itu berlangsung juga tidak kelihatan kelibat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) memantau aksi pergaulan bebas penonton remaja terbabit.
Realiti yang berlaku dalam konsert kelmarin yang dilapor dibanjiri lebih 20,000 penonton di RTC Tunjung, Kota Bharu itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan kenyataan rasmi kerajaan negeri Pas.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud menerusi kenyataannya menegaskan bahawa penganjuran konsert sempena Karnival Jom Heboh (KJH) itu dipantau oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dari Maghrib sehingga selesai.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit di bawah Parlimen Kubang Kerian berkenaan, beliau dimaklumkan mengenai aspek pemantauan sejak waktu Maghrib itu oleh Pegawai Pelesenan MPKB-BRI.
Menurutnya, laporan mengenai keadaan adalah terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton mengenai pengasingan tempat duduk (kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki) serta berulang kali memohon penonton menjaga tatasusila sepanjang konsert.
“Ini sejajar dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudian diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.
“Garis panduan ini diwujudkan bagi menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan di bawah kawalan kerajaan negeri berdasarkan enakmen itu sebagai panduan kepada pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.
“Bagi melengkapkan garis panduan kawalan hiburan yang ada, pihak MPKB-BRI mengeluarkan syarat bagi melicinkan urusan pelesenan,” jelas Asri.
Malah, pemimpin Pas itu berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Karnival Jom Heboh (KJH) dengan versi membangun bersama Islam terutama Media Prima yang memberikan jolokan KJH konsep patuh syariah sejajar dengan saranan kerajaan negeri membabitkan aktiviti bersifat Islamik seperti Forum Perdana Ehwal Islam, kuliah khas pagi Jumaat, pertandingan Azan dan bercerita serta MyQurantime.
“Saya menegaskan bahawa, Kelantan Bumi Serambi Makkah sejak sekian lama dahulu hingga kini, terbuka dan mengalu-alukan sebarang penganjuran apa jua karnival atau hiburan sekiranya penganjur boleh mengikuti syarat penganjuran.
“Apa yang lebih penting penganjur juga hendaklah mengambil kira pendekatan negeri ini yang konsisten dengan dasar membangun bersama Islam,” kata Asri lagi.
BACA JUGA Orang Pas nak juga beli beras mahal tapi salahkan kerajaan