Fahmi arah CSM siasat kebocoran maklumat 3 juta pengguna MySejahtera

Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) menyiasat pendedahan laporan Ketua Audit Negara berkenaan maklumat pengguna aplikasi MySejahtera yang telah dimuat turun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengumumkan tindakan selanjutnya selepas CSM melengkapkan laporan tersebut.

Fahmi Fadzil

“Berkenaan isu data MySejahtera seperti yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (Pakatan Harapan), saya telah arahkan CSM melakukan siasatan berkenaan isu ketirisan data bagi aplikasi itu.

“Bila laporan disediakan, pihak MCMC akan menerbitkan laporan. Saya tahu ramai risau tapi pihak kerajaan dan PDRM akan lakukan siasatan,” katanya.

LKAN Tahun 2021 Siri 2 mendedahkan aplikasi MySejahtera cuba diceroboh sebanyak 1.12 juta kali mulai 27 Oktober 2021.

Dalam masa sama, sebanyak tiga juta maklumat penerima vaksin daripada aplikasi itu telah diakses secara mencurigakan daripada satu akaun ‘super admin’.

BACA JUGA Kerajaan teliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Maklumat