Fahmi ingatkan rakyat waspada elak jadi mangsa serangan siber

Pengguna internet digesa agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan pelbagai aplikasi dan media sosial.

Gesaan itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bertujuan mengelakkan masyarakat menjadi mangsa serangan siber.

”Gunalah kemudahan teknologi ini dengan positif, berhemah dan penuh tanggungjawab bagi mewujudkan komuniti siber Madani.

“Selamat Hari Keselamatan Internet 2023. Sentiasa bijak, sentiasa selamat dan bersama-sama ke arah kesejahteraan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video ucapan berdurasi seminit 37 saat sempena sambutan itu, yang dimuat naik di Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut, ancaman dan serangan siber berpotensi menyebabkan berlakunya pelbagai insiden seperti ketirisan data, kecurian maklumat peribadi, pencerobohan, penggodaman, penipuan dalam talian, scam dan buli siber.

Tambahnya lagi, insiden seumpama itu berlaku disebabkan penggunaan teknologi dan Internet yang tidak selamat, (penggunaan) tanpa amalan baik yang sewajarnya.

Untuk rekod, Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi kes buli siber selepas India mengikut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020.

Buli siber yang berleluasa menerusi aplikasi media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BACA JUGA Potong peruntukan: Ahli parlimen boleh kerjasama dengan syarikat swasta