Fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh badan tertentu – Sultan Selangor

Fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh badan tertentu – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan fatwa hanya boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri atau mufti setelah mendapat perkenan raja setiap negeri yang mengeluarkan fatwa berkenaan.

Sultan Selangor bertitah, Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan hukum selepas perbincangan dengan mufti setiap negeri dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Selanjutnya, pandangan hukum tersebut diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan daripada Raja bagi sesebuah negeri, untuk difatwakan.

“Sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan seorang mufti, sebaliknya ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan/atau Jawatankuasa Fatwa negeri yang terdiri daripda alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Ini bagi memastikan fatwa dikeluarkan tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat. Sebaliknya, jika fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang-orang dan pemimpin-pemimpin politik, ianya akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa,” titah baginda dalam kenyataan menerusi Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak terutamanya pemimpin politik segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini.

“Ingatan beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik, malah beta memilih mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelak kenyataan Beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik.

“Beta menyeru janganlah agama diperalat bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah baginda lagi.

Sultan Sharafuddin turut meminta pihak polis agar menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Baginda bertitah, langkah tersebut bertujuan menjadi pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara sama pada masa hadapan.

“Pemimpin politik khususnya yang veteran dan berpengalaman perlu mengelak daripada memecah-belahkan rakyat di negara ini, sebaliknya mengambil pendekatan menanam dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara,” titah baginda.

Pada 2 September lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin ketika dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram’ memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat di parlimen Pulai.

Sehari selepas itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menafikan pernah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Beliau berkata, ada pihak yang memetik ucapannya dalam ceramah tersebut di luar konteks.

Beliau telah memberi keterangan kepada pihak polis berkenaan perkara ini.

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )