Fitnah Razman terhadap PM Anwar bukti Pas hilang nilai Islam

Permohonan maaf oleh Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria kepada PM10 Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping semalam menunjukkan parti itu sudah hilang kompas moral dalam perjuangannya.

Permohonan maaf ini adalah sebaik kemenangan kes buat PM10 yang mengetepikan fitnah liar oleh Razman terhadap Anwar Ibrahim berhubung dakwaan beliau membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Permohonan maaf ini mempunyai signifikan besar dalam politik negara kerana dakwaan tersebut telah dijadikan bahan kempen oleh Pas dan PN dalam PRU15 lalu yang menyaksikan berlakunya gelombang hijau.

Ramai penganalisis politik berpendapat gelombang hijau ini bertitik tolak daripada kempen-kempen fitnah sebegini termasuk dakwaan PH menyokong agenda komunis dan Anwar Ibrahim ada hubungan dengan Israel.

Dakwaan sebegini ternyata palsu apabila Anwar Ibrahim membawa agenda Madani dalam kerangka pentadbirannya.

Dengan permohonan maaf ini, ia bukan isu peribadi, tetapi isu kepartian kerana fitnah LGBT ini dijadikan bahan kempen Pas dan PN dalam PRU lalu.

Oleh itu, jelas Pas dan PN menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu atas kempen fitnah dan pembohongan. Dari segi moral, adakah kemenangan Pas dan PN di 74 kerusi dalam PRU lalu sah?

Permohonan maaf ini perlu diambil iktibar oleh orang Melayu bahawa kempen Pas dan PN adalah dibuat dengan menunggang isu kaum dan agama yang mana ianya fitnah semata-mata.

Jelas, fitnah yang dibawa Pas ini menyimpang jauh daripada Islam. Pas kini bukan sahaja hilang kompas moral, tetapi juga nilai Islam.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang. 

 

BACA JUGA Akui memfitnah, Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf kepada PM Anwar