Fokus terhadap tugas, bukan Dr Mahathir, kata Anwar

Fokus Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ialah tugas dan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri Malaysia, bukannya hubungan beliau dengan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau tidak mahu “perseteruan” dan hubungan dingin dengan Dr Mahathir memandangkan rakyat telah memberikan mandat kepada beliau untuk memimpin Malaysia.

“Rakyat sudah memilih dan memberikan mandat kepada saya untuk menjalankan tugas. Saya harus fokus terhadap perkara itu… tetapi saya juga tidak mahu dilihat ini dilihat sebagai perseteruan yang tidak berkesudahan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada persoalan yang diutarakan di dalam rancangan Nation Hub: Interview Khas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh saluran CNBC Indonesia malam tadi.

Rancangan ini telah dirakam sewaktu lawatan Anwar ke Indonesia baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan bahawa gaya permusuhan Dr Mahathir ini diteruskan oleh blok pembangkang sekarang.

“Di Malaysia jika dibandingkan dengan Indonesia dan beberapa negara lain, permusuhan itu terlalu tajam. Ini sebenarnya warisan dari cara style pimpinan Mahathir.

“Siapa yang tidak dukung dia itu musuh dan mesti ditangkap dan diapa-apakan. Ini terus berkembang sehingga sekarang.

“Tetapi alhamdulilah cepat kita fikir soal negara, soal masa depan, soal kestabilan politik.

“Jadi untuk kita bina koalisi dengan prinsip tata kelola, tolak rasuah, korupsi itu telah disepakati dan sudah diterima dan saya ada dokongan dua per tiga majoriti. Jadi cukup untuk mentadbir dengan tenang.

Anwar  turut memberikan pesanan kepada blok pembangkang di Malaysia iaitu Perikatan Nasional.

“Mudah-mudahan rakan – rakan di oposisi tidak terlalu mempertajamkan (permusuhan).

“Saya  juga minta mereka hindari kenyataan-kenyataan menghukum orang, mengkafirkan orang. Kalau itu diringankan, kita boleh berdialog dengan baik.”

Kempen sebegitu jelas kelihatan dilakukan oleh Perikatan Nasional, terutamanya oleh PAS.