Gadis Inspirasi Selangor mampu sebar mesej positif kerajaan

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, menyatakan harapan agar Program Gadis Inspirasi Selangor 2023 mampu memberikan manfaat kepada masyarakat terutama dalam menyebarkan mesej-mesej positif di media sosial.

Menerusi program anjuran Wanita Berdaya Selangor itu, Siti Mariah berkata, para gadis yang terlibat dalam pertandingan itu diharap mampu menjadi ejen bagi menyebarkan manfaat dari inisiatif dan program Kerajaan Negeri, kepada masyarakat di bawah.

Program Gadis Inspirasi Selangor 2023 diadakan bertujuan mencungkil bakat serta mendaya upaya wanita muda dengan ilmu dan kemahiran agar mereka boleh memainkan peranan yang baik dalam masyarakat.

Seramai 42 peserta daripada 211 permohonan telah diterima menyertai 4 bengkel dan aktiviti tugasan lapangan.

Dalam program tersebut, peserta dibekalkan dengan input tentang strategi kempen digital, kempen di Tiktok, perhubungan awam, personaliti, protokol, adab & etika komunikasi, pengucapan awam seeta komunikasi strategik.

Dalam aktiviti lapangan, peserta diminta menghasilkan kandungan kreatif meliputi tajuk-tajuk seperti kemiskinan haid, gangguan seksual, keganasan rumahtangga, pendidikan seksual, kesihatan mental, perkahwinan bawah umur, wanita dan kerjaya, demokrasi dan sebagainya.

“Saya berharap agar para gadis akan dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat terutama dalam menyebarkan mesej-mesej positif di media sosial serta menjadi agen bagi menyebarkan manfaat dari inisiatif dan program Kerajaan Negeri.

“Syabas saya ucapkan kepada Cik Nur Zawani Zakiah yang telah memenangi Anugerah Hadiah Keseluruhan dan para peserta lain yang memenangi anugerah sempena Program GADIS.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen dan partisipasi sepanjang program GADIS berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di akhir program, sebanyak 5 anugerah diberikan kepada 15 peserta yang dinilai layak oleh panel juri iaitu Anugerah Konten Kreatif, Viewers Terbanyak, Media Sosial Terbaik, Peserta Bengkel Terbaik dan Hadiah Keseluruhan.