Gaji minimum permulaan untuk gaji bermaruah

Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berpendapat dasar gaji minimum sebagai permulaan untuk kerajaan melaksanakan pula gaji bermaruah yang lebih membela nasib pekerja.

“Syarat gaji minimum dan bermaruah ini ialah gaji minimum mestilah bersesuaian dengan pendapatan untuk mengimbangi kos sara hidup.

“Manakala gaji bermaruah pula, nilai-nilai kesesuaian yang ada pada setiap pekerja.

“Katakanlah, kalau seseorang itu mempunyai kelayakan ijazah sarjana, mana boleh untuk kita berikan gaji taraf SPM.

“Oleh sebab itu, matlamat besar yang kita hendak capai ialah gaji bermaruah supaya generasi muda tidak terbeban dengan dengan isu gaji ini,” jelasnya ketika dihubungi Harapan Daily pagi ini.

Dalam masa sama, Abdullah yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar yakin prestasi Kerajaan Perpaduan mampu menyelesaikan isu gaji minimum dalam tempoh lima tahun ini.

“Saya kira komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, mampu untuk menyelaraskan akta gaji minimum dalam tempoh penggal ini sebagai langkah pertama kerajaan,” ujarnya.

Untuk rekod, peningkatan gaji minimum dari RM 1,050 kepada RM 1,500 yang dikuatkuasakan oleh kerajaan telah dilaksanakan pada 3 Januari lalu.

Bekas Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu turut menekankan komitmen kerajaan yang mesti membantu syarikat-syarikat kecil yang masih lagi tidak mampu mengimplemantasi gaji melalui potongan cukai korporat atau pemberian dana kepada majikan.

“Bagi syarikat kecil yang tidak mampu untuk memberi gaji minimum, kerajaan boleh mengambil iniasitif untuk memberi potongan cukai korporat.

“Kerajaan juga boleh membantu syarikat dengan memberi bantuan khas seperti dana SIP (Skim Insurans Pekerja) untuk bantu syarikat yang hendak memberikan gaji minimum,” tambah Abdullah lagi.

Baca juga Dilema penjaja tanpa lesen di Kampung Baru