Gendang PRK Pulai, Simpang Jeram mulai dipalu hari ini

Gendang PRK Pulai, Simpang Jeram mulai dipalu hari ini

Pilihan Raya Negeri (PRN) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar bermula hari ini dengan penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi.

Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi PRK Parlimen Pulai dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru.

Sementara itu, PPC dan PPRU bagi PRK DUN Simpang Jeram adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

Pakatan Harapan (PH) telah menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Suhaizan Kaiat, 50, sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu.

Naib Pengerusi AMANAH Johor itu dijangka tiada masalah besar untuk menentang bakal calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.

Di DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, 56, yang merupakan seorang jurutera.

Beliau menentang calon PN pakar bedah endovaskular, Dr Mohd Mazri Yahya yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Johor.

Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 pemilih yang terdiri daripada 165,700 pengundi biasa, 927 polis dan 26 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagi DUN Simpang Jeram, terdapat 40,379 pengundi terdiri daripada 40,373 pengundi biasa dan enam Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU15 lalu, Salahuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen P.161 Pulai selepas meraih 64,900 undi dengan majoriti 33,174 undi.

Beliau menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 20,677.

Salahuddin turut menang di DUN N.13 Simpang Jeram apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon PN, Zarul Salleh yang mengaut 6,350 undi, manakala seorang lagi calon, Datuk Lokman Md Don dari BN dengan 6,062 undi.

BACA JUGA Pulai, Simpang Jeram diyakini kekal milik PH

COMMENTS

Wordpress (0)