Gopal Sri Ram meninggal dunia

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, 79, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Mendiang yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan minggu lalu bagi menerima rawatan, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada 23 November 2022, ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pemeriksaan utama membabitkan saksi utama kes akan dikendalikan oleh Gopal.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, berita kematian Gopal disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

“Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini,” katanya ketika dihubungi.

Mendiang juga adalah pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutuskan ucapan takziahnya kepada keluarga mendiang.

“Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” ciap beliau.