Gubal segera akta kebencian agama dan kaum, elak budaya mencaci – Mujahid

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa kerajaan menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Menurut beliau akta yang pernah dicadangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MPKN) 2014 bertujuan menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang ada di negara ini.

“Akta Kebencian Agama dan Kaum ini merupakan satu akta yang telah lama kita perjuangkan.

“Oleh itu, saya menggesa agar kerajaan segera melaksanakan akta ini kerana ia satu keperluan dalam keadaan rakyat yang hidup bersangka-sangka,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu perkauman yang sering dimainkan oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan kemungkinan berulang lagi dalam Pilihan Raya Negeri menjelang Julai ini.

Mujahid yang juga bekas Menteri Agama turut berpandangan agar Jabatan Komunikasi Konuniti (J-KOM) lebih berperanan dalam memberi penerangan balas terhadap isu-isu agama dan perkauman.

“Seharusnya J-KOM perlu segera memberi penerangan dalam isu-isu yang sering dimainkan PN antaranya isu Melayu-Islam, Tabung Haji dan LGBT.

“Kerana ia akan memberi kesan kepada kerajaan dalam PRN nanti, sudah tentunya pihak pembangkang akan menggunakan isu tersebut demi menarik undi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mujahid menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait isu pengurusan dan operasi Tabung Haji segera dilaporkan.

“Ia perlu didedahkan kepada orang awam sebab tuduhan ini yang menyerang kita habis-habisan dalam PRU15 baru-baru ini.

“Bayangkan siasatan diraja yang bebas itu melaporkan tiada penyelewangan dan segala tuduhan itu adalah tidak berasas, bukankah ia satu kemenangan yang besar untuk kerajaan?” katanya lagi.

BACA JUGA: Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama