Guna elektrik amat banyak tidak lagi nikmati subsidi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

Menurutnya, penggunaan elektrik yang sangat tinggi contohnya, rumah itu menggunakan tiga kipas dan empat penyaman udara, perlu membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

“Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

“Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.

Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan telah memulakan langkah pensasaran subsidi pada awal tahun ini dengan menolak cadangan kerajaan lalu untuk menaikkan harga elektrik.

“Jadi, kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya lagi.