Guna logo, tema Hari Kebangsaan sama kerajaan Pusat permulaan politik lebih matang

Guna logo, tema Hari Kebangsaan sama kerajaan Pusat permulaan politik lebih matang

Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyambut baik langkah Kerajaan Kelantan mengikut jejak negeri itu untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan, selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengharapkan, ia adalah permulaan politik yang lebih matang daripada semua pihak bagi kebaikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Diharapkan kita kembali ke era serta cara politik sihat di mana selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pihak kerajaan dan pembangkang menumpukan usaha untuk berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat sehingga PRU berikutnya.

“Inilah cara terbaik ‘win win’ atau menang-menang di mana perkhidmatan untuk rakyat dipertingkatkan bagi kebaikan mereka, dan kerajaan serta pembangkang memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

“Diharapkan juga era kerajaan bertukar selang setahun tidak berulang lagi kerana rakyat sangat kepenatan dengan politik serang-menyerang (24 jam) tanpa ruang untuk muhasabah diri dan usaha membina negara bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata negeri itu akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan selari dengan Kerajaan Persekutuan seperti diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini.

Dalam sidang media di Kota Bharu hari ini, Fadzli memberitahu sambutan Hari Kebangsaan bagaimanapun akan diadakan sedikit berbeza iaitu pada waktu malam 30 Ogos dengan acara bermula jam 6.30 petang.

Menurutnya, tema sambutan Hari Kebangsaan untuk Kelantan ditambah ayat di hujung tema Kerajaan Persekutuan iaitu ‘Membangun Bersama Islam’ menjadi ‘Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan Membangun Bersama Islam’.

Jelasnya lagi, sambutan itu akan disertai dengan pelbagai acara dan dimulakan dengan program Kelantan Berselawat sebelum diakhiri pertunjukan bunga api.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu berkata, bukan hanya rakyat yang bosan dan penat, malah pihak istana turut menzahirkan pendapat sama mengharapkan kestabilan dan ketenteraman.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Raja-raja Melayu adalah payung negara untuk semua rakyat berteduh.

“Jika gelora politik sentiasa membawa ribut politik berterusan yang tidak bermusim, payung yang melindungi rakyat akan turut terkesan berdukacita kerana ribut yang sentiasa melanda.

“Bersabar dan tangguhlah cita-cita untuk berkuasa sebagai kerajaan kepada waktu pilihan raya berikutnya seperti ditetapkan perlembagaan.

“Gunalah tempoh yang ada untuk membina dan membaiki kekuatan dalaman politik masing-masing, pada masa sama membela nasib rakyat yang memerlukan belaian,” ujarnya.

Menurut Raja Kamarul yang juga bekas Ahli Parlimen Terengganu, kesabaran menurut Islam adalah sebahagian besar daripada keimanan dan banyak hikmah di sebalik kesabaran itu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin menggunakan logo dan tema berlainan.

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan perkara itu hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

BACA JUGA PH Terengganu sambut baik keputusan negeri guna logo Hari Kebangsaan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )