
Gunakan setahun pisahkan kuasa pendakwa raya – Peguam Negara
Seorang ahli parlimen kerajaan mencadangkan agar tempoh waktu setahun digunakan untuk memisahkan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata tempoh tersebut akan dapat meyakinkan rakyat berkenaan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan usaha reformasi tersebut.
“Saya juga harap bahawa kerajaan boleh menetapkan tempoh setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa di antara Pendakwa Raya dengan Peguam Negara,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pagi tadi
“Sungguhpun dua jawatankuasa khusus telah ditubuhkan untuk tujuan ini, tempoh setahun akan menyakinkan orangramai bahawa niat dan semangat reformasi masih membara-bara lagi.”
Beliau berkata demikian merujuk kepada Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
Beliau turut memohon Peguam Negara baharu Datuk Ahmad Terrrirudin Mohd Salleh untuk memberi penjelasan lebih menyeluruh yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara, khususnya dalam kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya memohon Peguam Negara yang baru boleh menjelaskan dengan lebih lanjut dan menyeluruh tentang kemelut berkaitan dengan keputusan bersabit kes-kes berprofil tinggi kerana masih tidak memuaskan hati masyarakat sivil, termasuk Majlis Peguam Negara.”
Beberapa minggu lalu, Zahid telah dilepas tanpa dibebaskan meskipun berdepan 47 tuduhan membabitkan Yayasan Akal Budi.