Hadi Awang biarkan Pakatan Rakyat terbubar sebab takut kalah pilihan raya

Hadi Awang biarkan Pakatan Rakyat terbubar sebab takut kalah pilihan raya

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sengaja membiarkan Pakatan Rakyat (PR) terbubar disebabkan beliau takut kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 jika terus bersama dengan gabungan tersebut.

Ketua Wanita AMANAH Nasional, Aiman Athirah berkata demikian sebagai memulangkan paku buah keras kepada Abdul Hadi susulan dakwaannya bahawa bekas pemimpin Pas menyertai AMANAH adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

“Kepimpinan Haji Hadi memilih untuk membiarkan PR terbubar disebabkan dua faktor utama.

“Pertama takut kalah dalam PRU14 kerana sudah hilang keyakinan dapat menjadi kerajaan persekutuan menerusi pilihan raya bersama PR.

“Kedua Haji Hadi tahu bahawa jika terus kekal bersama PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, peluang Pas untuk menjadi Perdana Menteri adalah sangat sukar kerana perlu terlebih dahul menafikan Anwar,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu Hadi dalam ucapannya di markas Pas Bakri semalam mendakwa tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai AMANAH adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Beliau turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

Selepas PRU14 pada 2018, bekas pemimpin Pas termasuk bekas Timbalan Presiden Pas sendiri iaitu Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad telah dilantik sebagai menteri.

Keputusan itu kata Aiman Athirah, antara bukti untuk menepis dakyah Abdul Hadi yang menuduh mereka menubuhkan dan menggerakkan AMANAH kerana takut kalah.

Pada masa sama, beliau mendedahkan bahawa pergeseran Pas di dalam PR sebenarnya bukan di antara Pas-DAP, tetapi sebaliknya adalah di antara Pas-PKR, atau lebih tepat adalah Pas-Anwar.

“Isu sebenar adalah Haji Hadi tidak boleh menerima pandangan dan kepimpinan orang lain. Keputusan majoriti AJK Pas Pusat pun dilanggar.

“Tiada lagi disiplin organisasi dan akhlak berjemaah yang dahulunya kami diajar oleh kepimpinan terdahulu Pas. Segalanya hanyalah tentang apa Haji Hadi dan pengikut-pengikutnya mahu dan percaya.

“Haji Hadi sendiri mencabar yang tidak setuju dengannya agar keluar tinggalkan Pas. Pada masa yang sama pengikut-pengikutnya terus menjalankan pelbagai provokasi dan buli, dengan fitnah dan adu domba dijadikan sesuatu yang halal,” ujarnya.

BACA JUGA Dakwa kerajaan beri kerakyatan pada 54,000 warga China, Fahmi perjelas hal sebenar

COMMENTS

Wordpress (0)