
Hadi dicabar bubar Lembaga Pengampunan di empat negeri Pas
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dicabar untuk mengarahkan empat negeri dikuasai Pas menggantung kuasa Lembaga Pengampunan Negeri.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa Lembaga Pengampunan tidak Islamik dan parti seperti AMANAH, DAP dan UMNO menentang pindaan Perlembagaan Persekutuan supaya hak pengampunan orang bersalah dalam kes jenayah diberi kepada keluarga mangsa sebagai satu kenyataan jahat dan tidak berasas.
“Ustaz Hadi sendiri tahu bahawa tiada sebarang usul untuk memansuh kuasa pengampunan oleh Lembaga Pengampunan di Parlimen dibentangkan dan oleh itu sengaja membangkitkan isu ini untuk memfitnah parti pemerintah atas nama sentimen agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu menegaskan bahawa kenyataan Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu menunjukkan suatu usaha Pas untuk merungkai Perlembagaan.
“Ustaz Hadi sendiri sedar bahawa Lembaga Pengampunan adalah kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kepada Sultan ataupun Raja bagi negeri.
“Maksudnya, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang memegang dua pertiga majoriti sepatutnya membuat satu usul di Dun masing-masing menggesa peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa pengampunan kepada Raja di negeri masing-masing dimansuhkan dan menggantung pelaksanaan kuasa pengampunan tersebut jika Pas jujur dengan perjuangan Islam,” kata Faiz lagi.

Faiz Fadzil
Beliau turut memetik Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:
“YDP Agong berkuasa memberi ampun tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang Dipertua Negeri sesuatu negeri berkuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya”.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri pada 26 Ogos lalu yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan
Dakwanya, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.
“Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” kata bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu lagi.
Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 menyiasat kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, kenyataan Abdul Hadi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram itu menunjukkan politik Pas sangat tidak bertanggungjawab kepada negara.
Beliau turut berpendapat Pas yang menganggotai blok pembangkang PN itu sanggup berbuat apa sahaja demi mendapat kuasa politik.
“Dakyah baharu Pas ini adalah bagi menutup kelemahan Pas yang gagal melaksanakan hukum hudud dan meminda Akta 355 ketika menjadi kerajaan pusat dahulu.
“Islam digunakan sewenang-wenangnya untuk memecah-belahkan masyarakat melalui cara mengelirukan pemikiran rakyat,” ujar anak kelima bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor itu.
Dalam masa sama, Faiz menyifatkan pemikiran takfiri dalam Pas sekarang sedang disuburkan kepada rakyat dengan membangkitkan banyak perkara dalam negara ini tidak Islamik walaupun banyak negara Islam mengiktiraf Malaysia.
“Politik takfiri Pas ini perlu dihentikan segera sebelum insiden konflik kaum dan agama seperti 13 Mei dan Memali berulang,” tegas peguam itu lagi.
BACA JUGA Sah Hadi Awang disiasat kerana pertikai kuasa Lembaga Pengampunan