Hadi ditempelak tuduh kerajaan lengah pemberian kepada negeri pembangkang

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sering kali memutarbelitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh kerajaan melengah-lengahkan pemberian royalti petroleum kepada negeri pembangkang.

Azli berkata tindakan Hadi itu dilihat cuba untuk menafikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu termasuk menambah peruntukan untuk negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas.

“Kalau setakat hanya pandai sebut sahaja, itu adalah tidak adil kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang begitu komited untuk membantu negeri dikuasai Pas.

“Kita boleh lihat secara terperinci adakah dakwaan (Hadi) itu benar ataupun peruntukan itu diberikan tetapi melalui kaedah yang lain,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan sudah pun mengumumkan bahawa sebahagian peruntukan daripada wang ihsan Kelantan dan Terengganu akan disalurkan secara langsung kepada rakyat di kedua-dua negeri itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Hadi menerusi siri Minda Presiden Pas semalam, yang mendakwa negeri di bawah pentadbiran parti itu berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa bahawa negeri yang ditadbir Pas iaitu Terengganu, Kedah dan Perlis dinafikan untuk menerima royalti petroleum tetapi tidak pula situasinya dengan Sabah dan Sarawak yang mana pemberian dilengah-lengahkan dengan pelbagai dalih bukannya ‘dalil’.

Mengulas lanjut, Azli yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor mengambil contoh situasi banjir hujung tahun lalu.

Beliau menegaskan peruntukan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta juga tetap disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

“Kalau kita lihat baru-baru ini, bantuan banjir itu tidak dilengahkan pun, malah bantuan itu cepat turun ke negeri yang terkesan termasuk ke Kelantan dan Terengganu.

“Jadi, tiada sebab dakwaan-dakwaan yang mengatakan (peruntukan) dilewatkan tapi sekiranya peruntukan itu memang dalam proses tertentu maknanya kena lihat dahulu dan berlaku adillah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta pembangkang agar terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara ini kerana kerajaan sedia ada telah membuktikan dapat mentadbir negara dengan baik.

BACA JUGA Walau PM komited bantu negeri Pas, Hadi masih dakwa peruntukan dilengah