Hadi fitnah, DAP tidak pernah minta Pas buang Islam – Anthony Loke

Hadi fitnah, DAP tidak pernah minta Pas buang Islam – Anthony Loke

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempersoal mengapa Pas sentiasa melabel DAP sebagai musuh Islam dan menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam percaturan politik mereka.

Beliau berkata, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat fitnah apabila mendakwa pimpinan DAP meminta Pas “membuang” Islam dalam perjuangannya sebagai syarat meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan sebelum ini.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut sambil menegaskan bahawa DAP tidak pernah meminta Pas “membuang” Islam sepanjang kerjasama antara kedua-dua parti sama ada semasa dalam Barisan Alternatif (1999-2002) mahupun Pakatan Rakyat (2008-2015).

“DAP konsisten dalam pendirian kami sepanjang kerjasama politik dengan Pas bahawa kami fokus dalam isu-isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dalam isu yang tidak dapat mencapai konsensus.

“Isu pokok yang tidak dapat dipersetujui oleh DAP ialah pelaksanaan hukum hudud.

“Memang DAP konsisten dalam perkara ini kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan Pas bahawa selain DAP, individu yang paling lantang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud ialah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4.

Anthony berkata, pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud tidak bermakna melawan agama Islam, kerana. Mahathir juga tidak pernah setuju dengan pelaksanaan hudud.

“Begitu juga parti-parti yang disebut oleh Hadi seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Mengapa hanya DAP yang sentiasa dilabelkan oleh PAS sebagai “musuh” Islam? Bukankah ini semata-mata satu pembohongan PAS untuk menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam percaturan politik mereka?,” soalnya.

BACA JUGA Hadi pertikai Lembaga Pengampunan dikritik

COMMENTS

Wordpress (0)