Hadi hina kuasa Agong pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Hadi hina kuasa Agong pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan cara negara ini memberikan pengampunan kepada pesalah tidak selari dengan apa yang diajarkan Islam, disifatkan sebagai ucapan tidak wajar.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman berkata, apatah lagi ia diungkapkan ketika kempen politik pilihan raya yang sedang berjalan.

“Selain itu, jika perlu pun pandangan daripada waris, maka pihak Jemaah Pengampunan boleh menggunakan saluran lain untuk mendapatkan pandangan waris khasnya apabila melibatkan kes-kes yang berkaitan kematian.

“Jemaah Pengampunan selanjutnya boleh membentangkan pandangan waris itu di dalam mesyuarat pengampunan yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja.

“Manakala, kedudukan undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah meliputi apa-apa jenis kesalahan dan bukan sahaja terhad kepada hukuman berkaitan kesalahan bunuh qisas sahaja.

“Apa-apa kesalahan lain juga boleh diampunkan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuklah kesalahan yang dianggap takzir dalam Islam.

“Oleh itu, pandangan Hadi secara umum mengenai pengampunan itu adalah kurang tepat kerana Islam,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Abdul Hadi Awang

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Hadi semasa berucap dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar kelmarin.

Dalam ceramah itu, Abdul Hadi mendakwa, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah, adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Katanya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

“Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” kata Ahli Parlimen Marang itu seperti dilapor.

Mengulas lanjut, Dr Zulqarnain yang juga peguam syarie berkata, dalam Islam, isu pengampunan lazimnya berbangkit dalam isu kesalahan qisas yang melibatkan kematian.

Dalam kes seperti itu katanya, waris kepada mangsa bunuh boleh memilih untuk menggantikan hukuman bunuh balas dengan wang diyat atau memberikan pengampunan penuh kepada pesalah.

“Dalam kes, mangsa itu tidak meninggalkan waris maka para ulama bersepakat bahawa Raja atau pemerintah berkuasa untuk memberikan pengampunan itu.

“Hadi tidak memperincikan bagaimanakah hal pengampunan itu berlaku. Beliau telah membuat satu kenyataan yang pada asasnya mempersoalkan hak dan keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Gabenor.

“Tindakan beliau mempersoalkan kuasa yang diberikan itu adalah satu bentuk penghinaan kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Gabenor dan boleh menimbulkan kegusaran di kalangan orang awam.

“Bagi pengamal undang-undang, ucapan sebegitu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, apatah lagi, Hadi selaku seorang ahli Parlimen telah bersumpah dan berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Lelaki muat naik ugutan terhadap Sultan Selangor

COMMENTS

Wordpress (0)